Cara Pertukaran dan Penempatan Murid Sekolah Rendah
Bila tiba hujung tahun saja, tentu ramai di kalangan ibu ayah yang berpindah tempat kerja baru atau berpindah ke rumah baru kan? Saya pun tak terkecuali dengan mengambil peluang cuti sekolah hujung tahun untuk berpindah. Pada hemat saya, cuti hujung tahun yang panjang dan anak-anak sudah tamat sesi persekolahan adalah masa yang paling sesuai untuk berpindah rumah dan uruskan hal pertukaran sekolah.
Ok, actually entri kali ini adalah mengenai cara atau prosedur pertukaran dan penempatan anak ke sekolah baru . Memandangkan ini kali pertama saya perlu uruskan hal tukar sekolah anak sulung, banyak yang saya tak tahu dan perlu cari di internet dan bertanya kawan-kawan. Contohnya, apa dokumen yang perlu dikemukakan ke sekolah lama, dokumen penting yang perlu diserahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) /JPN, dan dokumen yang perlu anda serahkan ke sekolah baru.
Proses permohonan pertukaran sekolah ini sebenarnya tak adalah rumit sangat. Mungkin macam kes anak saya, dia hanya bertukar ke sekolah di daerah berlainan namun masih dalam negeri Selangor. Jadi, prosesnya berjalan tanpa sebarang masalah dan selesai dalam tempoh seminggu saja.
Berbalik pada proses awal yang saya lakukan ialah dengan call dahulu sekolah baru yang ingin dipohon untuk bertanya mengenai status kekosongan pelajar. Sebenarnya bila anda ke PPD pun anda boleh check statusnya, cuma saya nak pastikan sama ada sekolah itu ada kenakan syarat lain untuk mendapat tempat belajar di sekolah mereka iaitu seperti perlu menduduki ujian terlebih dahulu dan sebagainya.
Setelah puas hati dengan sekolah yang hendak dipohon, barulah saya pergi ke pejabat sekolah lama untuk mengisi borang permohonan untuk bertukar sekolah [ Borang P.U.(A)275 Jadual Ketiga ]. Selepas dah isi, hantar semula borang ini ke pejabat sekolah lama untuk ditaip semula oleh kerani sekolah. Biasanya hanya ambil masa 2 hari saja untuk kerani menyiapkannya dan mereka akan call anda untuk datang mengambil semula borang ini bersama-sama dengan dokumen lain yang telah disahkan oleh Guru Besar.
4 salinan borang PUA 275 itu tadi perlu diserahkan kepada pihak yang berkenaan (perlu ikut turutan ya) :-
(1) 4 salinan perlu diserahkan kepada PPD untuk pengesahan kelulusan permohonan pertukaran sekolah baru. Satu salinan disimpan oleh PPD.
(2) Satu salinan diserahkan ke sekolah baru.
(3) Satu salinan diserahkan semula ke sekolah lama.
(4) Satu salinan disimpan oleh anda, ibubapa/penjaga.
Di bawah ini saya ringkaskan dokumen yang perlu anda kemukakan kepada 1) pihak sekolah lama, 2) kepada PPD/JPN, dan 3) kepada pihak sekolah baru.
DOKUMEN YANG PERLU DIKEMUKAKAN OLEH IBUBAPA/PENJAGA KEPADA PIHAK SEKOLAH LAMA :-
(1) 1 Borang Permohonan Untuk Bertukar Sekolah Oleh Murid Warganegara [ P.U.(A) 275 Jadual Ketiga ] (diisi ibubapa/penjaga)
(2) 1 Salinan surat beranak
(3) 1 Salinan IC ibubapa/penjaga
(4) 1 Salinan surat nikah
(5) 1 Surat hak jaga anak (kes cerai)
(6) 1 Surat anak angkat (jika anak angkat)
(7) 1 Bil air/letrik/cukai pintu (sah alamat terkini)
DOKUMEN YANG PIHAK SEKOLAH PROSES DAN DIKEMUKAKAN OLEH IBUBAPA/PENJAGA KEPADA PPD/JPN :-
(1) 4 Salinan Borang P.U.(A) 275 Jadual Ketiga (diisi pihak sekolah lama)
dan semua salinan (2) ,(3), (4) ,(5) ,(6), dan (7) seperti di atas yang telah disahkan oleh Guru Besar sekolah lama.
DOKUMEN YANG PERLU DIKEMUKAKAN OLEH IBUBAPA/PENJAGA KEPADA PIHAK SEKOLAH BARU :-
(1) 1 Salinan Borang P.U.(A) 275 Jadual Ketiga (diluluskan oleh PPD/JPN)
(2) Fail Peribadi Murid yang mengandungi :-
- Salinan Keputusan Peperiksaan Terakhir
- Buku Rekod Profil Pentaksiran Sekolah
- Buku Rekod Kesihatan Murid
- Kad Rawatan Perkhidmatan Pergigian
- Buku Rekod Pencapaian Murid Program j-Qaf
- Sijil-sijil Pengiktirafan
(3) Semua salinan (2),(3),(4),(5),(6) dan (7) seperti di atas yang telah disahkan oleh Guru Besar sekolah lama.
Selepas memastikan semua dokumen sudah lengkap, barulah anda boleh ke sekolah baru untuk urusan pendaftaran anak. Urusan ini perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari dari tarikh diluluskan permohonan oleh PPD/JPN. Tidak boleh daftarkan terlalu awal memandangkan tarikh anak sulung mula daftar sekolah baru adalah pada hari pertama persekolahan tahun hadapan, iaitu 2 Jan 2018. Jadi, saya dan suami ambil keputusan untuk hadir ke sekolah baru pada 19 Dis 2017 untuk buat pendaftaran dan penempatan kelas. .
Di sekolah, kerani akan suruh anda isi borang maklumat anak, ibubapa/penjaga, dan berapa tanggungan keluarga. Mereka juga akan meneliti keputusan peperiksaan anak dan anda akan dapat tahu kelas anak anda pada masa itu juga. Alhamdulillah, syukur anak saya ditempatkan di kelas yang baik untuk darjah 2 tahun depan.
Baiklah, akhir sekali nasihat dari saya, buatlah persediaan awal dan lengkapkan dokumen terlebih dahulu sebelum hantar ke PPD dan sekolah untuk pengesahan supaya anda tak perlu berulang-alik kerana tertinggal dokumen penting. Harap entri ini dapat membantu ibu ayah di luar sana yang tengah pening nak uruskan hal pertukaran sekolah rendah anak anda. Semoga Allah permudahkan segala urusan kalian hendaknya. Aamiin.
Aretie Alias
Untuk anda yang ingin mendapatkan perkhidmatan dari AM PRO MOVERS TRANSPORTATION. Anda boleh menghubungi seperti yang di bawah:-
Whatsapp:
Instagram:
Facebook:
Website:
AM PRO MOVERS, YOUR TRUSTED MOVERS
No comments:
Post a Comment